Malam Nisfu Syaaban termasuk salah satu masa doa umat Islam mustajab, diperkenan Allah

PADA bulan Syaaban banyak amal kebajikan diperoleh mereka yang mengambil kesempatan beramal. Bulan yang sering dijadikan persediaan menyambut Ramadan turut menjadi bulan umat Islam berebut melakukan amal kebajikan.

Apabila Syaaban berhasil mendorong melaksanakan pelbagai kebajikan dengan amalan mengikut sunnah seperti memperbanyakkan berpuasa sunat, maka Ramadan yang menyusul dapat dilalui dengan mudah dan selesa untuk menunaikan kewajipan berpuasa.

Ulama mengatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk membersihkan diri, Syaaban membersihkan hati dan Ramadan membersihkan jiwa.
Mengenai malam Nisfu Syaaban, Imam Syafii menyatakan dalam Kitabnya Al-Umm: Sudah sampai kepada kami, ada orang yang mengatakan sesungguhnya doa dimakbulkan oleh Allah pada lima malam: malam Jumaat, malam Hari Raya Aidil Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam 15 Syaaban.

Imam Syafii berkata: Saya suka kepada kelebihan yang dinyatakan pada malam itu dengan syarat ia tidak dianggap wajib.

Sahabat, tabiin dan ulama bersungguh beribadah pada malam itu. Kitab Durratun Nasihin menyebut: Jibril datang kepadaku pada malam Nisfu Syaaban dan berkata: Wahai Muhammad, pada malam ini pintu langit dan pintu rahmat sedang dibuka, oleh itu bangun dan kerjakan sembahyang kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.

Aku (Rasulullah SAW) bertanyakan: Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini? Jibril menjawab: Pada malam ini sudah dibuka tiga ratus pintu rahmat, maka Allah Taala mengampuni semua orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan tukang sihir, kahin (tukang tenung), orang suka bermusuhan, peminum khamar (arak), orang yang melacur dirinya, pemakan harta riba, orang derhaka kepada ibu bapa, orang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan diampuni sehingga mereka itu mahu bertaubat dan meninggalkan pekerjaan (maksiatnya) itu.
Beribadah pada malam Nisfu Syaaban boleh dilakukan dengan memperbanyak membaca al-Quran, berselawat kepada Rasulullah SAW, berzikir dan berdoa. Ketahuilah malam Nisfu Syaaban adalah termasuk salah satu masa perkenan dan mustajab doa.

Doa yang dibaca Rasulullah SAW pada malam Nisfu Syaaban antara lain bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu, dan aku tidak mengira pujian kepada-Mu, seperti mana Engkau memuji kepada-Mu sendiri. Maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda.

Doa itu dibaca Rasulullah SAW dalam sujud di waktu malam ketika sembahyang sunat di rumahnya. Baginda SAW membaca doa itu dalam sujudnya sambil matanya menitiskan air mata kerana perasaan takutnya kepada Allah SWT.

Antara kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah pada malam itu pintu langit dan pintu rahmat dibuka bermula daripada awal malam sehingga waktu Subuh.

Allah mengampunkan segala dosa yang pernah dilakukan oleh orang yang menghidupkan malam itu dengan melakukan ibadah kecuali orang yang syirik kepada Allah, menyimpan dendam dalam hati, ketagih arak dan orang yang sentiasa berzina.

Pada malam berkenaan juga amalan yang dilakukan dalam tempoh setahun diangkat kepada Allah, ditulis siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati, orang yang menghidupkan malam itu dengan beribadah akan dimasukkan ke dalam syurga.

Bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat banyak melakukan kesalahan mengenai malam Nisfu Syaaban dengan berebut-rebut datang ke masjid atau surau untuk mendapat fadilat malam itu.

Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas sembahyang Maghrib dan selepas bacaan yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur, memohon dijauhkan bala bencana (bacaan Yasin kedua) dan diniatkan memohon murah rezeki yang halal (bacaan Yasin ketiga).

Difahamkan amalan sambutan malam Nisfu Syaaban yang kaifiatnya seperti ini tidak diamalkan di tempat lain melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara. Ada kalanya mereka membaca surah Yasin begitu cepat dan pantas sehingga mengabaikan hukum tajwid.

Ini berlaku kerana ingin mengejar bilangan tiga kali bacaan. Al-Quran melaknat mereka yang membacanya dengan tidak betul hukum tajwid kerana al-Quran mestilah dibaca dengan tartil.

Firman Allah bermaksud: Dan bacalah al-Quran dengan penuh tartil. (Surah al-Muzammil, ayat 4)

Kita digalakkan sembahyang, berdoa, beristighfar, membaca al-Quran dan melakukan amalan disuruh Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat. Nabi SAW tidak menetapkan bacaan surah Yasin seperti disebutkan itu.

Sering juga kita mendengar khutbah yang disampaikan khatib semasa sembahyang Jumaat dengan memperingatkan jemaah supaya jangan terlalu taksub dengan amalan Nisfu Syaaban dan ini bererti ada kesalahan sering dilakukan ketika tibanya malam Nisfu Syaaban.

Syaaban adalah satu bulan hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dianggap pintu gerbang Ramadan yang penuh berkat.