Kecemerlangan sebenar seorang guru tidak boleh diukur pada keupayaan dan kemampuan mengajar semata-mata kerana fungsi sebenar guru bukan setakat melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian terbaik dan cemerlang dari segi inteleknya, tetapi juga merangkumi segenap aspek kehidupan insan iaitu jasmani, emosi, dan rohaninya dan berakhlak cemerlang ( Hasrat yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ). Berikut 10 peranan yang perlu dilaksanakan guru untuk menjadi orang yang cemerlang :-
1.Guru sebagai PENDAKWAH :

Guru bertanggungjawab bukan saja mengajar dan menyampaikan ilmu kepada pelajarnya, tetapi juga membentuk mereka menjadi insan sehingga boleh berperanan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia melakukan perkara yang tidak baik.

2.Guru sebagai PENDIDIK :

Guru perlu melaksanakan tugas asasinya untuk membentuk pelajar menjadi insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani an intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebenarnya mendidik bukanlah tugas guru semata-mata, sebaliknya setiap orang mesti menjadi pendidik.

3.Guru sebagai PEMIMPIN :

Setiap guru bertanggungjawab memberi bimbingan dan pimpinan kepada anak didiknya. Guru adalah pemimpin sekurang-kurangnya pada peringkat kelasnya. Jika pengetua adalah pemimpin di sekolah. Guru yang akan melahirkan pemimpin. Oleh itu, guru yang tidak boleh menjadi pemimpin yang baik, tidak boleh menjadi guru yang baik.

4.Guru sebagai PEKERJA :

Guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti diamanahkan oleh majikannya. Dengan itu, guru mesti patuh pada arahan yang diberikan kepadanya.

5.Guru sebagai PENGUSAHA :


Sama seperti seorang pengusaha, guru juga perlu memiliki sifat inovatif dan kreatif supaya hasil usahanya mengajar dan mendidik pelajar mencapai keuntungan yang diharapkan. Keuntungan di sini bukan keuntungan dalam bentuk kebendaan, sebaliknya kejayaannya melahirkan modal insan yang mempunyai nilai tambah. Dengan itu,pelajar berkenaan akan menjadi modal insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk mencapai matlamat ini, guru mestilah bersedia dan sanggup memberikan kepada pelajarnya ilmu dan kemahiran lebih daripada apa yang ada dalam sukatan pelajaran.
6.Guru sebagai PROFESIONAL :

Guru mestilah melaksanakan tugasnya dengan secara profesional dengan mengamalkan sifat seperti berdisiplin, menepati waktu dan tidak pilih kasih terhadap pelajarnya.

7.Guru sebagai PENGIKUT :

Setiap guru bukan saja perlu menjadi pemimpin tetapi juga pengikut yang baik. Malah ada cerdik pandai yang menyatakan bahawa mereka yang tidak boleh menjadi pengikut, tidak boleh menjadi pemimpin yang baik. Sebagai pengikut, guru mesti menerima dan melaksanakan arahan ketuanya ( Pengetua ).

8.Guru sebagai PEJUANG :

Guru mesti bekerja dan melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya dengan bersungguh-sungguh, bukan bersikap sambil lewa serta melepaskan batuk di tangga. Malah guru mesti mempunyai agenda yang jelas dalam melaksanakan tugas, tetapi bukan agenda peribadi, sebaliknya sentiasa meletakkan keutamaan bertugas untuk mendidik anak bangsanya menjadi orang yang berilmu serta berguna kepada masyarakat dan negara.

9.Guru sebagai PENYOKONG :

Guru mesti memberi sokongan kepada perkara yang mendatangkan faedah dan manfaat kepada pelajarnya. Bagaimanapun, sokongan itu mestilah berdasarkan kebenaran dan berprinsip, bukan sokongan secara membuta-tuli.

10.Guru sebagai orang yang PRODUKTIF :

Guru perlu sentiasa menggunakan masa dan tenaganya dengan cara yang berkesan sama ada sewaktu di sekolah mahupun selepas waktu persekolahan. Sehubungan itu, guru tidak boleh beranggapan tugasnya pergi dan balik dari sekolah sebagai rutin harian yang tidak mempunyai sebarang makna atau sekadar untuk memenuhi arahan dan tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya ia perlu sentiasa berusaha menggunakan masa dan tenaganya bagi kebaikan pelajar, sekolah dan masyarakatnya. Tiga perkara asas yang perlu dimiliki oleh guru untuk membolehkan mereka memahami dan melaksanakan 10 peranan di atas:-

1. Memiliki ilmu : Guru mesti menguasai ilmu dalam bidang dan subjek yang diajarnya. Malah guru perlu sentiasa meningkatkan ilmunya dalam bidang dan subjek berkenaan supaya ilmu dan pengetahuannya seiring dengan perkembangan semasa.

2. Memiliki kemahiran : Untuk menjadi orang yang cekap dan berkesan, guru perlu memiliki kemahiran yang diperlukan seperti kemahiran menyampai dan kemahiran berkomunikasi.

3. Memiliki sikap yang betul : Guru perlu memiliki sikap dan kefahaman yang betul mengenai tugas dan tanggungjawabnya serta melaksanakannya dengan sepenuh hati, bukan bersikap sambil lewa. Ia termasuk membuat persediaan dan persiapan untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar di dalam kelas.

***Dalam konteks guru , guru yang cemerlang adalah yang memperlihatkan kemahiran, pengetahuan, kesungguhan dan keghairahan terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat melebihi standard semasa yang ada. Guru yang berupaya menghasilkan pelajar yang luar biasa.